JASIN – Seorang pemandu bas sekolah direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki memaksa pelajar lelaki berusia 14 tahun melakukan perbuatan seksual di dalam pengangkutan itu pada Selasa lalu.
Perintah reman sehingga 11 Februari itu dibenarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 50 tahun bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada malam Selasa lalu selepas ibu mangsa yang juga guru mengesan perubahan sikap anaknya sebelum meminta remaja tersebut menceritakan kejadian.
“Remaja itu mendedahkan ketika menaiki bas sekolah untuk pulang ke rumah dan selepas semua pelajar lain diturunkan, suspek membawanya ke satu kawasan di Kesang sebelum memberhentikan bas di tepi jalan.
“Suspek kemudian mengunci pintu bas dan memaksa mangsa melakukan perbuatan seksual sebelum menghantarnya pulang,” katanya.
Tambah sumber itu, ibu mangsa berusia 39 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Kesang, malam tadi.
“Polis mengeluarkan Borang Pol 59 untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka, manakala suspek ditahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














