KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menepati ramalan apabila meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India.
Pada perlawanan yang berlangsung di Indira Gandhi Arena, New Delhi sebentar tadi, pilihan kedua itu menewaskan beregu Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu 21-16, 21-10.
Walaupun diramal tidak berdepan banyak masalah, namun Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras apabila sebelum membenam beregu No.9 dunia itu dalam tempoh 32 minit.
Pilihan kedua itu bermula agak perlahan apabila diberikan tekanan oleh beregu Taiwan berkenaan sebelum kembali mendapatkan momentum di set kedua.
Menjelang aksi separuh akhir esok, Pearly-Thinaah akan berdepan pilihan kelima dari Jepun, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima yang menewaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-10, 21-11.
Pertemuan itu dijangka seimbang biarpun Matsumoto-Fukushima menang dalam dua pertemuan terakhir pada Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China bulan lepas. – KOSMO! ONLINE














