BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia menuntut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) merombak semula kalendar Jelajah Dunia dengan tidak menjadikan Terbuka Malaysia sebagai kejohanan pembuka tirai setiap musim.
Aaron menegaskan, penganjuran kejohanan bertaraf Super 1000 itu dianggap terlalu awal dan tidak ideal buat pemain utama dunia yang baru sahaja menamatkan kempen yang padat musim lalu dan ditambah menerusi Jelajah Dunia Akhir yang berakhir pada 21 Disember lalu.
Katanya, tempoh rehat dua minggu sebelum kembali beraksi di pentas tertinggi adalah amat singkat dan menyukarkan proses pemulihan fizikal pemain terutama kepada pemain ranking dunia yang bersaing di pentas berprestij itu.
“Sebenarnya saya rasa Terbuka Malaysia ini agak terlalu awal kerana Jelajah Dunia Akhir baru saja habis. Saya harap tarikh kejohanan ini boleh dianjakkan, mungkin ke hujung Januari atau minggu pertama Februari.
“Janganlah kejohanan pertama terus bertaraf Super 1000. Untuk pemain yang layak ke Jelajah Dunia Akhir, memang sudah penat kerana beraksi dalam 18 hingga 20 kejohanan setahun,” katanya selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena, semalam.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berpendapat, BWF sewajarnya memulakan musim dengan kejohanan bertaraf lebih rendah seperti Super 300 atau 500 bagi memberi ruang pemain utama mempersiapkan diri.
Meskipun berdepan kekangan masa latihan, Aaron yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik tetap optimis untuk memberikan persembahan terbaik dihadapan penyokong sendiri minggu ini.














