PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan penghargaan tahniah kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan yang bertungkus-lumus menjalankan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak Julai 2015 sehingga membawa kepada penyelesaian kes tersebut.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai komitmen dan ketekunan luar biasa pegawai penyiasat khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada dalam atau luar negara.
“Siasatan ini berdepan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa. Namun, pasukan penyiasat kekal beriltizam tinggi bagi memenuhi piawaian perundangan yang ketat, sekali gus membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam berkata, penghargaan turut diberikan terhadap semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan khususnya Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara juga penting dalam proses yang kompleks dan mencabar terutama bagi mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance).
“Antara agensi luar negara yang memberikan bantuan bernilai tinggi dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados
“Profesionalisme dan komitmen berterusan semua agensi terlibat dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya.
Azam berkata, keputusan mahkamah hari ini bukanlah satu detik untuk dirai atau dibanggakan oleh SPRM, sebaliknya mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada pihaknya.
“Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














