PETALING JAYA – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan seorang ahli perniagaan yang mengaitkannya dengan ugutan dan menegaskan beliau tidak pernah berhubung secara langsung dengan individu terbabit.
Menurut Azam, beliau juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakilinya untuk berurusan terus dengan ahli perniagaan berkenaan.
“Saya tidak tahu apa yang lelaki ini dakwa. Saya tidak pernah bercakap dengannya secara langsung.
“Saya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili saya untuk berurusan dengannya secara terus,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi polis berhubung dakwaan itu dan bersedia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan dijalankan.
Katanya, beliau turut mengalu-alukan siasatan terhadap dakwaan tersebut selain sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
“Saya juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Peguam saya sedang menyediakan dokumentasi berhubung tindakan ini,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas selain mendakwa laporan polis yang dibuat adalah palsu serta mempersoalkan motif di sebalik dakwaan berkenaan.
Semalam, Kosmo! melaporkan, polis akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, setakat ini dua individu sudah dirakam keterangan termasuk Albert dan seorang peguam yang didakwa menjadi penyampai maklumat berkaitan ugutan tersebut. – KOSMO! ONLINE














