PETALING JAYA – Polis dijangka mengambil keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki minggu depan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah menghubungi individu terbabit bagi mengatur pertemuan untuk mendapatkan keterangan lanjut.
“Setakat ini, kami telah berhubung dan pertemuan akan diatur dalam minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap Albert pada 13 Mei lalu.
Kumar berkata, setakat ini dua individu sudah dirakam keterangan termasuk Albert dan seorang peguam yang didakwa menjadi penyampai maklumat berkaitan ugutan tersebut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Terdahulu, Azam turut memaklumkan, pihaknya telah menghubungi polis berhubung dakwaan itu dan bersedia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan dijalankan. – KOSMO! ONLINE














