HULU SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai dibawa arus di Sungai Nilam, Sungai Selisek, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera, kenderaan pacuan empat roda dan bot penyelamat.
“Komander operasi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas dibawa arus sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, usaha mencari dan menyelamat oleh pihaknya sedang giat dijalankan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














