DALAM dunia glamor, perkahwinan tidak semata-mata penyatuan dua hati, malah menjadi pentas mempamerkan cita rasa, simbol status serta keindahan bersulam adat dan sentuhan moden.
Setiap majlis diraikan penuh tertib, sarat emosi dan kemewahan hingga mencuri tumpuan seluruh negara. Ada perkahwinan dikenang kerana dekorasi bak taman fantasi, ada pula diingati dek kos mencecah jutaan ringgit. Hantaran bukan lagi sekadar dulang berisi barangan buat pengantin, sebaliknya menjadi naratif cinta, simbol penghargaan dan status si pasangan.
Daripada mas kahwin unik, tajaan bernilai luar biasa hinggalah busana pengantin bertatah ribuan kristal, setiap butiran bahkan cenderahati buat tetamu menjadi bualan panjang peminat serta pengamal industri hiburan. Gala minggu ini menampilkan lima perkahwinan selebriti tempatan paling ikonik, mewah dan kekal menjadi penanda aras, biarpun masa terus berlalu

Siti Nurhaliza dan Datuk K
PERKAHWINAN Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersama Datuk Khalid Mohamad Jiwa pada Ogos 2006 kekal terpahat sebagai perkahwinan selebriti paling monumental pernah direkodkan di Malaysia.
Kos keseluruhan majlis dilaporkan melebihi RM12 juta, angka luar biasa pada era tersebut, malah skala kemewahan itu menjadikan perkahwinan pelantun Biarlah Rahsia itu sebagai rujukan utama hingga hari ini. Wang hantaran sekitar RM55,555 mencuri perhatian ramai, manakala mas kahwin RM22.50 mengekalkan nilai kesederhanaan berteraskan syariat.
Kemuncak sejarah tercipta apabila majlis resepsi disiarkan secara langsung dalam televisyen, membolehkan jutaan peminat menyaksikan detik bahagia itu.

Shazeizy Sam, Syatilla Melvin
PERNIKAHAN pasangan pelakon Syatilla Melvin dan Shaheizy Sam pada Februari 2016 mencatat rekod tajaan tertinggi dalam sejarah perkahwinan selebriti Malaysia.
Jumlah tajaan dilaporkan mencecah RM25 juta merangkumi busana, dekorasi, barangan kemas, pelamin serta cenderamata tetamu.
Angka tersebut menjadikan perkahwinan ini sukar ditandingi dari segi nilai komersial. Di sebalik kemewahan melampau, pasangan itu tetap mengekalkan nilai tradisi dengan wang hantaran RM10,082 serta beberapa barangan peribadi dibeli tanpa tajaan.

Che Ta dan Zain Saidin
PERKAHWINAN pelakon Rozita Che Wan bersama aktor Zain Saidin pada Disember 2013 turut mencipta sejarah apabila jumlah tajaan mencecah RM13 juta, luar biasa.
Hantaran paling ikonik berupa set barangan kemas berlian bernilai RM10 juta menjadikan majlis tersebut antara paling mewah pernah dianjurkan selebriti tempatan. Zain turut menyerahkan wang hantaran RM100,000, sebahagiannya digunakan Rozita yang mesra disapa Che Ta untuk membeli barangan peribadi serta hantaran balas dari kota fesyen dunia.

Neelofa dan Haris Ismail
PENGACARA popular Neelofa mencipta fenomena tersendiri apabila melangsungkan pernikahan bersama pendakwah bebas, Haris Ismail pada Mac 2021 yang serta- merta diangkat sebagai wedding of the year dek estetika dan eksklusiviti luar biasa. Akad nikah berlangsung di ibu kota bertema serba putih dengan hampir empat tan bunga segar memenuhi ruang, menjadikan suasana seakan-akan taman fantasi penuh ketenangan dan simbol kesucian.
Busana pernikahannya bertatah lebih 5,000 kristal Swarovski, manakala cenderahati untuk tetamu berupa produk Lancôme serta lilin wangi jenama Parisian Diptyque yang cukup eksklusif.

Erra Fazira dan Ezwan Zain
PRIMADONA Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira kembali mencuri tumpuan apabila melangsungkan perkahwinan bersama ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain pada Disember 2025 dalam suasana intim dan penuh makna.
Mas kahwin berupa sepohon pokok ufti bunga emas seberat 102 gram diperbuat dengan 24 keping dinar emas menjadi simbolik cinta agung, malah nilai simbolik tersebut dianggarkan melebihi RM200,000.
Keunikan lain terletak pada penyatuan semua barangan hantaran dalam satu talam besar, berbeza daripada kebiasaan dulang berasingan.
Pendekatan ini mempamerkan elemen tradisi lama disesuaikan dengan gaya kontemporari.
Busana Rizman Ruzaini rona biru lembut melengkapkan penampilan bintang filem Sembilu itu, anak gadis kedua-dua mempelai menambah elemen emosi pada hari penuh bermakna tersebut.














