fbpx
Gambar hiasan

Wang simpanan, pinjaman dan jualan barang kemas RM783,000 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Seorang pengusaha restoran berputih mata apabila wang simpanan dan wang pinjaman serta wang hasil jualan barang kemas bernilai RM783,000 lesap selepas dia terperdaya dengan skim penipuan pelaburan tidak wujud.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian bermula pada 17 September lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berusia 30 tahun tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di aplikasi Facebook.

“Mangsa kemudiannya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Christy’ dan dimasukkan ke dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan harian sekitar RM550 hingga RM600 dengan keuntungan sehingga 85 peratus kepada pelabur.

“Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi kononnya bagi tujuan paparan urus niaga dan pemantauan pelaburan saham tersebut,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu, mangsa telah membuat sebanyak 23 kali transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM783,000.

Katanya, namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan atas alasan bayaran tawaran permulaan (IPO) menyebabkan mangsa menyedari ditipu.

Tambahnya berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga dan hasil jualan barang kemas.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.

“Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN