fbpx
Rosmah

Kes saman syarikat barang kemas terhadap Rosmah diketahui 10 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Jun bagi keputusan kes saman syarikat pemborong barang kemas di Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas saksi keenam bagi pihak ketiga yang mewakili kerajaan selesai memberi keterangannya.

“Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada 13 Mei, manakala hujahan balas perlu difailkan pada 28 Mei. Mahkamah menetapkan 10 Jun ini,” kata Hakim Quay Soon.
Terdahulu, saksi terakhir bagi pihak ketiga yang merupakan kontraktor pengubahsuaian dalaman memberitahu mahkamah, dia melihat beberapa beg besar di kediaman mewah Pavilion Residence di sini pada 14 Mei 2018.

Chong Tong Long, 53, berkata, beg-beg besar itu dilihat di sebuah bilik bawah dalam kediaman tersebut.

“Apabila masuk, saya melihat terdapat beberapa beg besar (luggage) di dalam sebuah bilik bawah dalam unit tersebut. Unit itu merupakan rumah dua tingkat yang mana sebelum ini, beg-beg tersebut tidak ada di situ.

“Melihat keadaan tersebut, saya keluar dari unit tersebut dan terus ke parkir kerana bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu polis menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari bagasi ketika serbuan di Pavilion Residence pada Mei 2018.

Bekas pegawai kanan polis, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, serbuan itu dibuat kerana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Malaysia (IMDB) yang mana sebanyak 71 beg, satu kotak plastik dan 284 kotak dijumpai di kediaman tersebut.

Menurutnya, semasa rampasan dibuat, usaha untuk mengira setiap barang tidak dapat dilakukan kerana kandungan dalam beg terlalu padat dan tidak disusun dengan kemas.

Pada 2023, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut AS$14.57 juta (RM67.46 juta) atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 44 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya.

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan 44 barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepada defendan dirampas pihak berkuasa untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas tersebut berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala bakinya tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Global Royalty berkata, menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga semua barang kemas itu dengan baik dan bertanggungjawab terhadap keselamatan barangan tersebut.

Bagaimanapun plaintif mendakwa, defendan memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya hilang.

Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya ia hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Sekiranya tidak dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kos barang kemas berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan AS$14,567,270 selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN