PONTIAN – Sikap mudah percaya seorang wanita warga emas membawa padah apabila dia mengalami kerugian RM108,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, mangsa yang merupakan pesara sektor swasta membuat laporan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil pada 20 April lalu.
Menurutnya, mangsa mendakwa berurusan dengan individu yang menawarkan pakej pelaburan saham kononnya mampu memberi pulangan sehingga 80 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun yang diberikan bermula 11 Mac hingga 17 April dengan jumlah keseluruhan RM108,000.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi digunakan sindiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati modus operandi sindiket bermula apabila mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bersama individu lain yang sebenarnya merupakan ahli sindiket yang menyamar sebagai pelabur.
“Perbualan dalam kumpulan tersebut memaparkan testimoni palsu kononnya memperoleh keuntungan lumayan bagi meyakinkan mangsa.
“Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan palsu melalui pautan diberikan sebelum diminta menambah pelaburan, manakala keuntungan yang dipaparkan hanyalah rekaan semata-mata,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-KOSMO! ONLINE














