fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh Syuhadazulkifli memaparkan dekorasi replika kuih raya buatannya.

Siling pejabat dipenuhi kuih raya ‘gergasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bosan dengan hiasan ketupat plastik yang dianggap biasa, seorang wanita mengambil inisiatif luar biasa dengan menghiasi siling pejabatnya menggunakan pelbagai jenis replika kuih raya gergasi.

Aksi kreatif itu dilakukan oleh Syuhada Zulkifli, 36, bagi memeriahkan majlis jamuan raya (potluck) di tempat kerjanya, sekali gus mencuri tumpuan ramai selepas foto dekorasi unik tersebut tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Threads oleh Syuhadazulkifli, antara replika yang dihasilkan termasuklah kuih kegemaran ramai seperti tart nanas, semperit dan london almond yang dihasilkan dalam versi bersaiz gergasi dan mini bagi memberikan kelainan.

“Inspirasi utama saya datang daripada keinginan untuk tampilkan sesuatu yang berbeza dan tak terlalu biasa digunakan sebagai dekorasi raya.

“Saya cuba fikir elemen yang sangat dekat dengan hari raya, jadi saya fikir kuih raya adalah antara simbol yang paling signifikan dalam budaya kita,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Syuhada, idea untuk menghasilkan replika tersebut juga tercetus hasil perkongsian minat bersama adiknya yang sangat gemar akan objek makanan dalam saiz luar biasa.

Ujarnya, projek menghasilkan ‘kuih gergasi’ itu sebenarnya sudah dimulakan sejak tahun lalu, namun kali ini beliau menambah koleksi dalam saiz lebih kecil untuk digantung sebagai pelengkap dekorasi.

“Adik saya memang gemar dengan replika makanan gergasi dan mini. Dari situ, saya terfikir untuk gabungkan kedua-dua idea tersebut untuk hasilkan kuih raya dalam versi gergasi dan mini sebagai dekorasi tambahan tahun ini,” jelasnya.

Syuhada menyifatkan tugasan tersebut tidaklah terlalu rumit memandangkan beliau hanya menggunakan bahan ringkas yang mudah didapati.

Katanya, satu ketul kuih raya gergasi hanya mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit untuk disiapkan sepenuhnya dengan menggunakan gabus sebagai bahan asas, sebelum diwarnakan dengan cat akrilik.

Disebabkan keunikan hasil tangannya itu, Syuhada kini mula menawarkan khidmat sewaan memandangkan permintaan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

“Sebenarnya, tahun ini sudah masuk tahun kedua saya buat sewaan kuih raya gergasi ini. Asalnya memang buat untuk dekorasi pejabat sahaja pada tahun lepas, namun tidak sangka perkongsian di media sosial tular sehingga mendapat banyak permintaan.

“Jadi tahun ini saya masih teruskan dengan servis sewaan dekorasi kuih raya gergasi dan insya-Allah tahun-tahun akan datang pun saya akan teruskan sebab permintaan masih banyak,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan dekorasi ‘sedap’ dipandang ini, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM150 bagi sewaan 10 biji kuih raya gergasi.

Terdahulu, perkongsian Syuhada di platform Threads mendapat reaksi positif pengguna yang rata-ratanya kagum dengan ketelitian serta kreativiti wanita tersebut dalam menghidupkan suasana raya di pejabat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN