RIO DE JANEIRO – Lebih 200 pelancong terperangkap di atas sebuah bukit ikonik menghadap Rio de Janeiro semalam selepas pertempuran senjata meletus antara polis dan kumpulan pengedar dadah di kawasan favela berhampiran, kata pihak berkuasa dan pengendali pelancongan.
Favela merujuk kepada kejiranan lereng bukit yang padat dengan penduduk seperti setinggan.
Pengunjung terkandas kira-kira dua jam di Morro Dois Irmaos atau Bukit Dua Saudara ketika pertempuran berlaku di cerun bawah mereka antara polis dan konco Comando Vermelho, salah satu kumpulan jenayah terbesar di Brazil.
Puncak bukit Morro Dois yang menghadap Pantai Ipanema dan Leblon dari ketinggian 533 meter adalah salah satu tempat pelancongan paling terkenal di Rio de Janeiro dan menarik ribuan pengunjung setiap minggu.
“Terdapat lebih 200 orang yang mengikuti lawatan pagi ini (semalam). 70 peratus adalah pelancong asing,” kata pengendali syarikat pelancongan Favela Turismo, Renan Monteiro kepada AFP.
Polis berkata dalam satu kenyataan bahawa apabila anggota-anggotanya tiba di favela Vidigal, pengedar-pengedar dadah melepaskan tembakan.
Pelancong turun dari bukit selepas menerima lampu hijau daripada polis. Operasi itu menyaksikan tiga suspek ditangkap tiada kecederaan dilaporkan.
Rio menerima lebih 2.1 juta pelancong asing pada tahun 2025. – AFP














