PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Julai sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala 1 Ogos untuk PRN Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, penetapan tarikh berkenaan diputuskan selepas suruhanjaya itu mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN hari ini.
“Bagi PRN Johor, hari penamanaan calon pula ditetapkan pada 27 Jun, manakala undi awal ialah pada 7 Julai.
“Sementara itu, bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Julai, manakala undi awal ialah pada 28 Julai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di sini
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan PRN kali ini bakal menjadi pilihan raya ke-16 bagi negeri itu.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran sehari sebelum itu.
Pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE














