JAKARTA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup 21.4 kilogram dadah jenis methamphetamine (meth) ke Indonesia melalui laluan haram di kawasan sempadan Entikong, wilayah Kalimantan Barat, lapor portal berita The Borneo Post.
Suspek dikenali sebagai MO, 53, diberkas anggota Pasukan Petugas (Satgas) Pengamanan Sempadan (Pamtas) Indonesia-Malaysia dalam operasi khas di Entikong, Sanggau.
Komander Satgas Pamtas Indonesia-Malaysia, Leftenan Kolonel Andy Qomarudin berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat penduduk tempatan berhubung aktiviti mencurigakan di laluan tikus berhampiran sempadan kedua-dua negara.
“Suspek kerap dilihat keluar masuk di kawasan hutan walaupun dia bukan warga Indonesia dan tidak mempunyai tanah di sana.
“Dia menafikan membawa sebarang barangan haram merentasi sempadan, namun pihak berkuasa menjadi curiga apabila beg yang dibawa dikunci dengan mangga.
“Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan 20 bungkusan berisi 21.4 kilogram meth,” kata Andy.
Selain barang peribadi suspek, pihak berkuasa turut merampas sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia, dipercayai berkaitan dengan kegiatan penyeludupan itu.
Siasatan awal mendapati suspek memasuki Indonesia melalui Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Entikong menggunakan dokumen perjalanan yang sah sebelum kembali ke Malaysia untuk mengambil dadah.
Dadah itu kemudian dibawa masuk melalui laluan tikus merentasi kawasan hutan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – AGENSI














