JAKARTA – Satu klip video tular di Tarakan, wilayah Kalimantan Utara menunjukkan penduduk tempatan berpusu-pusu mendaki bukit atau kawasan yang lebih tinggi selepas melihat air laut surut tiba-tiba, lapor portal berita Lambe Turah.
Kebimbangan itu semakin meningkat selepas tersebarnya maklumat mengenai potensi tsunami susulan gempa bumi kuat menggegarkan Filipina.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @syyyalala menunjukkan perjalanan ke sebuah bukit dibanjiri beratus-ratus orang semalam.
Seorang penduduk tempatan memberitahu bahawa dia meninggalkan rumah bersama keluarganya selepas melihat air di Pantai Amal tiba-tiba surut pada pukul 10 pagi (waktu tempatan).
“Saya melihat air laut surut dengan mata sendiri pagi tadi. Bimbang dengan potensi tsunami, saya segera ke sini bersama anak-anak dan suami,” katanya.
Ada antara mereka yang enggan pulang ke rumah meskipun pihak berkuasa mengesahkan keadaan di kawasan Pantai Amal selamat. – AGENSI














