fbpx
Pasukan kecemasan menjalankan usaha menyelamat selepas sebuah kilang mercun meletup di Tamil Nadu kelmarin. - BBC Tamil

Kilang mercun meletup, 25 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 25 orang maut, manakala empat lagi parah selepas sebuah kilang membuat mercun meletup di negeri Tamil Nadu, India, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kejadian berlaku di Vanaja Fireworks Industry, bandar Virudhunagar petang kelmarin. 

Walaupun kilang itu sepatutnya tidak beroperasi, kira-kira 50 pekerja dilaporkan berada di dalam premis itu semasa kejadian, demikian menurut beberapa pegawai. 

“Letupan kedua berlaku semasa usaha menyelamat dilakukan dan mencederakan 13 orang lagi, namun tiada seorang pun mengalami kesan melecur serius,” kata pegawai tempatan, N.O. Sukhaputra kepada agensi berita ANI.

Punca letupan belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.

Seorang saksi yang sedang dirawat memberitahu BBC Tamil bahawa kira-kira 25 orang sedang bekerja di beranda kilang apabila kebakaran berlaku. Kebakaran itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga bilik rosak, manakala sebahagian bangunan ranap.

“Aduan difailkan terhadap pemilik kilang dan mandornya, kedua-dua suspek telah melarikan diri,” kata polis, sambil menambah, empat pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan dan menangkap mereka.

Menurut pegawai daerah,  22 daripada 25 mayat berjaya dikenal pasti setakat semalam, dengan kebanyakan mereka wanita. 

Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin berkata, kematian itu menyebabkan ‘kesedihan yang amat mendalam’ dan beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menyediakan semua bentuk bantuan yang diperlukan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN