PASIR SALAK – Pergaduhan antara dua lelaki menyaksikan seorang daripada mereka maut ditikam di Kilometer 12, Jalan Trans Perak dekat Changkat Lada, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerima maklumat berhubung kejadian bunuh tersebut kira-kira pukul 5.49 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki Melayu warga tempatan berusia 29 tahun dipercayai mengalami kecederaan akibat ditikam semasa berlaku pergaduhan dengan seorang lelaki Melayu yang dikenal pasti.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek telah melarikan diri selepas kejadian dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707.
Katanya, polis sedang giat mengesan suspek dan menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau keberadaan suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan S. Murugan di talian 012-6992784.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267. Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Suspek dikenal pasti sebagai Mohammad Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly, 30, yang beralamat terakhir di Kampung Guntur Tengkek, Batu Kikir di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE














