JOHANNESBURG – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala sembilan lagi parah selepas sekumpulan 10 lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di beberapa lokasi di Johannesburg, lapor akhbar The Sun UK.
Tragedi berdarah yang berlaku di kawasan penempatan haram Jumpers, Cleveland itu mencetuskan operasi besar-besaran pihak polis untuk memburu kesemua suspek.
Lapan lelaki dan tiga wanita meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lelaki lain menemui ajal akibat kecederaan di hospital, menjadikan angka korban seramai 12 orang.
Ketika kejadian, kumpulan suspek tiba dengan menaiki kenderaan Toyota Quantum putih, memasuki penempatan dari dua arah sebelum melepaskan tembakan di pelbagai lokasi.
Mereka melarikan diri menggunakan kenderaan sama.
Seorang saksi berkata, serangan berlangsung selama kira-kira sejam, dengan kejadian serupa semakin berleluasa.
Motif serangan itu tidak diketahui dan tiada tangkapan telah dibuat setakat ini. – AGENSI














