GUA MUSANG – Kematian seorang pendulang emas yang ditemukan lemas di Sungai Kampung Pulai, Padang Maling di sini, semalam dipercayai berpunca daripada serangan sawan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Mohamad Tarmizi Darwis, 35, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira pukul 11 malam sebelum pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.28 tengah malam tadi.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati, mangsa berkemungkinan mengalami kekurangan oksigen dipercayai selepas diserang sawan ketika berada mendulang emas di dalam sungai.
“Hasil pemeriksaan, keadaan lidah mangsa yang tergigit merupakan antara petunjuk lelaki itu mungkin mengalami serangan sawan sebelum lemas.
“Maklumat daripada keluarga juga mengesahkan mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, mimpi seorang remaja perempuan mengenai bapanya lemas ketika mendulang emas menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemui maut di Kampung Pulai di sini, semalam.
Isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd. Zuki, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bermimpi bapanya lemas semasa mendulang emas di dalam sungai pada malam sebelum kejadian. – KOSMO! ONLINE














