KLUANG – Pemandu kereta Mercedes-Benz yang dipercayai menyebabkan kemalangan maut sehingga meragut lima nyawa termasuk empat sekeluarga pada 1 Jun lalu dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk membebaskan suspek dengan jaminan polis sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Sebelum itu, suspek yang juga adik kepada pemandu BMW, Goh Yi Sheng, 22, dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula 2 Jun bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dilakukan.
Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh tahanan reman selama tiga hari pada Khamis sebelum dibuat tangkapan semula sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kluang untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.
Dalam permohonan reman itu, suspek diperintahkan untuk menjalani tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin lalu sebelum disambung dua hari hingga hari ini.
Terdahulu, pada 1 Jun lalu, Kosmo! melaporkan kedua-dua beradik tersebut didakwa memandu secara melulu sehingga abangnya, Yi Sheng terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan.
Susulan kemalangan tersebut, Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36; Nor Azlina Abd. Latif, 33; Semek Mat Soh, 75; dan Nur Airish Syifa Side,10, meninggal dunia.
Turut maut abang kepada suspek dikenali sebagai Yi Sheng yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE














