REMBAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut apabila dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz dipandu seorang guru di kilometer satu, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, di sini petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, guru perempuan berusia 42 tahun itu memandu seorang diri dari sebuah sekolah berhampiran ke PPRT berkenaan.
Menurutnya, guru berkenaan telah terlanggar pejalan kaki yang berada di jalan dalam kawasan perumahan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati murid darjah tiga berada di kedudukan atas jalan sebelah kanan kawasan PPRT berkenaan, manakala kedudukan SUV berada di hadapan kedudukan mangsa.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini. -KOSMO ! ONLINE














