PUTRAJAYA- Pelaksanaan kadar adunan biodiesel B15 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi sedia ada terhadap industri.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pendekatan progresif itu penting memandangkan aspek operasi, khususnya di pusat adunan (blending) perlu disusun dengan teliti tanpa menjejaskan rantaian bekalan semasa.
“Sekiranya penyusunan operasi di pusat adunan dapat dilakukan tanpa melibatkan penaiktarafan infrastruktur, kadar adunan boleh ditingkatkan daripada B10 kepada B15.
“Namun, pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat bagi memastikan operasi sedia ada tidak terganggu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) Putrajaya di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi mencapai tahap campuran lebih tinggi seperti B20 dan B30, pelaburan serta peningkatan infrastruktur masih diperlukan.
“Sekiranya kita hendak ke tahap yang lebih tinggi iaitu B20 dan B30, pelaburan dari segi infrastruktur perlu dilaksanakan, iaitu menaik taraf kemudahan sedia ada. Bagi sasaran jangka sederhana, memang terdapat keperluan untuk meningkatkan taraf infrastruktur tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad akan mengadakan lawatan ke sebuah fasiliti di Pelabuhan Klang esok bagi menilai kesiapsiagaan pengeluaran biodiesel.
Difahamkan premis berkenaan ialah KL-Kepong Oleomas Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat pengilangan oleokimia berpangkalan di Malaysia.
KLKOM merupakan sebahagian daripada divisyen KLK OLEO di bawah Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), antara syarikat perladangan terbesar di dunia.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 secara berperingkat bermula dengan B12 tanpa melibatkan kos tambahan, susulan perkembangan krisis di Asia Barat.
Menurut Akmal, langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil serta ketidaktentuan pasaran global.
Beliau menegaskan, kerajaan juga komited mempercepatkan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu. – KOSMO! ONLINE














