TAMPIN – Kehidupan enam sekeluarga semakin sulit dan susah apabila diganggu along yang merosakkan harta benda sedangkan mereka langsung tidak pernah membuat hutang dengan lintah darat tersebut.
Haw Hui Ching, 42, berkata, rumah dan kenderaan mereka di Taman Indah di sini habis rosak akibat disimbah cat dan penghakis oleh along pada pukul 3.30 pagi Selasa lalu.
Katanya, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi kucing yang kuat serta desiran gas.
“Saya selak langsir dan pandang ke luar hadapan rumah tapi agak gelap, tak nampak apa-apa. Kemudian bunyi desiran gas bertambah kuat dan tak sampai lima minit sahaja, kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz serta pagar rumah sudah disimbah cat merah.
“Kami trauma dengan kejadian ini sebab kami tak berhutang dengan mereka. Kasihanilah kami. Mereka patut cari orang yang berhutang dengan mereka, bukan kami mangsa keadaan. Kami minta mereka hentikan sebab kehidupan kami dah susah.
“Bapa mentua, Foo Teng Poh, 68, yang kudung tangan kiri akibat kemalangan di tempat kerja apabila tangan masuk ke dalam mesin 10 tahun lalu akan menjalani rawatan dialisis,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA Bahagian Tampin di sini semalam.
Menurut Hui Ching, mereka telah membuat laporan polis dan berharap along tersebut tidak lagi mengganggu hidupnya yang sudah sedia susah.














