PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mendapat pengajaran berguna menjelang aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, Khamis ini selepas sekadar seri 2-2 dengan Lorient dalam saingan Ligue 1, kelmarin.
Aspek pertahanan kini menjadi igauan buat pengendali PSG, Luis Enrique apabila pasukannya ‘bocor’ enam kali dalam dua perlawanan terakhir, termasuk ketika melepaskan empat gol kepada Bayern pada 29 April lalu.
Walaupun masih menerajui carta liga, Enrique mengakui kecewa dengan kegagalan barisannya mengekalkan motivasi tinggi selepas melakukan rombakan besar dengan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama.
“Kami perlukan tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam pemburuan takhta. Namun, agak sukar untuk mengekalkan tahap motivasi pasukan selepas mengharungi aksi separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada pemain,” kata Enrique yang merehatkan tonggak utama seperti Ousmane Dembele dan Khvicha Kvaratskhelia dalam aksi di Parc des Princes itu.
Dalam perlawanan tersebut, Ibrahim Mbaye terlebih dahulu meletakkan PSG di depan, namun disamakan oleh Pablo Pagis. Warren Zaire-Emery kembali memberikan kelebihan buat tuan rumah, sebelum kesilapan pemain remaja, Pierre Mounguengue membolehkan Aiyegun Tosin meledak gol penyamaan kedua Lorient.
Keputusan itu menyaksikan PSG kini memegang kelebihan tujuh mata di puncak liga berbanding pencabar terdekat, Lens yang turut sekadar seri 1-1 menentang Nice.
Pertarungan merebut gelaran Ligue 1 dijangka terus hangat apabila PSG dijadualkan bertemu Lens pada 14 Mei ini. Namun buat masa ini, tumpuan Enrique terarah sepenuhnya untuk mempertahankan maruah di Eropah apabila bertandang ke Munich dengan kelebihan tipis agregat 5-4. – AGENSI














