HULU SELANGOR – Tiga lelaki warga Yemen berdepan detik cemas apabila terkandas akibat kejadian kepala air di Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 4.12 petang.
“Dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya diselamatkan oleh orang awam. Seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian tangan dan berada di tepi tebing berketinggian kira-kira tiga meter sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut melibatkan seramai enam anggota dengan sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu. – KOSMO! ONLINE














