fbpx
Rakaman sistem televisyen litar tertutup menunjukkan suspek menaiki sebuah trak pikap sebelum menyerang pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae dekat Narathiwat, Thailand pada 22 Julai lalu.

Polis nafi suspek tembak lima renjer Thailand lari ke Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Polis menafikan dakwaan mengatakan suspek yang menembak mati lima anggota pasukan renjer di Narathiwat, Thailand pada 22 Julai melarikan diri ke Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, dakwaan bahawa setiap suspek yang terlibat insiden tembak atau keganasan di Selatan Thailand akan menyebabkan suspek melarikan diri ke Kelantan sering dibangkitkan, namun tiada bukti yang dapat dikaitkan dengan perkara tersebut.

Katanya, anggota pasukan cawangan khas di seluruh daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sentiasa memantau perkembangan keselamatan di kawasan sempadan, namun tidak mengesan sebarang pergerakan suspek ke negeri ini.

“Setiap kali berlaku kejadian tembak atau pergaduhan di sana, pasti ada yang mengatakan suspek lari ke sini (Kelantan), namun sehingga kini tiada bukti.

“Pasukan cawangan khas bersama pasukan risikan di daerah dan IPK sentiasa menjalankan risikan. Setakat ini, tiada bukti yang mengatakan mereka lari ke Kelantan. Jika ada, sila beri nama mereka kepada kami,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di JPN Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, kawalan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa diperketatkan sejak awal beliau mengetuai pasukan dalam membendung penyeludupan dadah dan barangan, malah menghalang sebarang jenayah rentas sempadan.

Katanya, kawalan tersebut turut menepis persepsi bahawa Kelantan menjadi laluan mudah kepada penjenayah yang melarikan diri dari selatan Thailand.

“Sebab itu saya tekankan kawalan dan penutupan sempadan sejak datang ke sini. Selain kes penyeludupan, banyak dakwaan yang mengatakan penjenayah dari Thailand melarikan diri ke Kelantan.

“Selepas kawalan sempadan diperketatkan, perkara seperti itu sudah tidak berlaku,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae di Narathiwat, Thailand. – KOSMO! ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN