PETALING JAYA – Siri kemalangan maut sejak edisi pertama penganjuran RXZ Members sehingga 8.0, baru-baru ini disifatkan amat membimbangkan dan memerlukan tindakan lebih tegas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana setiap kali tiba hujung minggu yang menghimpunkan peminat permotoran, bilik-bilik kecemasan di hospital seluruh negara sering berhadapan realiti memilukan.
“Dari satu sudut, setiap kali lonjakan kes kemalangan berlaku dalam satu-satu masa, seluruh sumber hospital bermula dari bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah, hinggalah tenaga pakar pelbagai disiplin, terpaksa digerakkan dan dialihkan.
“Inilah realiti sistem kesihatan kita. Satu peratus tenaga kerja Kementerian Kesihatan menggalas tanggungjawab menguruskan 99 peratus populasi rakyat Malaysia,” katanya di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik, kerajaan menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban.
“Nahas jalan raya adalah cabaran kesihatan awam yang getir kepada negara dan penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.
“Berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya oleh Kementerian Pengangkutan, puratanya seramai 18 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara ini.
“Lebih membimbangkan, peratusan kematian tertinggi iaitu sebanyak 59 peratus adalah berpunca daripada golongan penunggang motosikal,” ujarnya.
Kata beliau, penganjur sukan permotoran mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin.
Susulan itu, beliau menyarankan supaya pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap penganjuran, agar insiden nyawa melayang akibat kelajuan tidak berulang.
“Sudah tiba masa kita ubah mentaliti ekstrem di jalan raya. Hentikan penggunaan slogan lama, budayakan slogan baharu membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan, ‘Yang santai, pasti sampai’.
“Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














