RABAT – Dua anggota tentera Amerika Syarikat(AS) yang hilang ketika dalam latihan di selatan Maghribi kali terakhir dilihat berhampiran sebuah tebing dan mungkin terjatuh ke dalam laut, seorang pegawai pertahanan AS memberitahu AFP.
Pencarian besar-besaran di darat, udara dan laut dilancarkan oleh tentera AS, Maghribi dan sekutunya di Kawasan Latihan Cap Draa selepas askat tersebut hilang lewat kelmarin, kata kedua-dua belah pihak.
Pencarian masih diteruskan sejurus sebelum pukul 10 pagi (waktu Malaysia) semalam, kata pegawai AS itu kepada AFP.
“Saya boleh mengesahkan insiden ini tiada kaitan dengan pengganas tetapi nampaknya satu kemalangan.
“Laporan awal menunjukkan kedua-dua askar mungkin terjatuh ke dalam laut,” katanya.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan, pegawai tentera percaya dua askar hilang itu pergi mendaki selepas latihan tamat. AFP belum dapat mengesahkan maklumat tersebut.
Tentera Maghribi mengesahkan turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.
Pegawai pertahanan AS berkata, beberapa helikopter, kapal, dron, pendaki gunung dan penyelam terlibat dalam pencarian sama.
Tentera AS sedang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama tahunan dikenali sebagai Singa Afrika. Ia menghimpunkan tentera AS, sekutu Afrika dan tentera NATO untuk latihan di utara dan barat Afrika.
Eksesais disertai lebih 10,000 askar dari lebih 20 negara itu dihoskan oleh Maghribi, Ghana, Senegal serta Tunisia. – AFP














