fbpx

Malaysia, Turkmenistan teroka kerjasama AI, TVET, semikonduktor – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia dan Turkmenistan bersetuju memperluaskan hubungan dua hala dalam bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), semikonduktor serta pembangunan modal insan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu mencerminkan perkembangan hubungan kedua-dua negara yang kini tidak lagi tertumpu kepada sektor minyak dan gas semata-mata.

Menurutnya, komitmen tersebut dizahirkan menerusi Forum Malaysia-Turkmenistan yang menghimpunkan pemimpin industri dan komuniti perniagaan kedua-dua negara bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih luas.

“Berteraskan kepercayaan dan persahabatan yang telah terbina sekian lama, kedua-dua negara kini komited memperluas kerjasama dalam bidang strategik termasuk pendidikan, TVET, AI, semikonduktor dan pembangunan modal insan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-30 kehadiran Petronas di Turkmenistan yang menjadi bukti kejayaan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.

Katanya, pencapaian tersebut menunjukkan perkongsian yang diasaskan atas rasa hormat, pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran mampu memberikan manfaat berkekalan.

Terdahulu, Anwar dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov telah menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting termasuk Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan mengenai kerjasama jangka panjang bagi pembangunan sumber hidrokarbon negara itu.

Turut dimeterai ialah Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok 19 dan Blok 20 antara Petronas dengan State Concern Turkmennebit serta State Enterprise Hazarnebit.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menandatangani Perjanjian Kerjasama bagi pelaksanaan kajian seismik 2D untuk blok-blok luar pesisir utara antara Petronas dan State Concern Turkmennebit

Anwar berkata, kesepakatan yang dicapai akan membuka lembaran baharu hubungan Malaysia-Turkmenistan.

“Ia juga menjadi contoh bagaimana negara-negara Selatan Global dapat membina kerjasama saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran rakyat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN