fbpx
Habsah Hassan melahirkan kebimbangan terhadap kualiti penyanyi yang memandai-mandai menjadi komposer dewasa ini. - MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

‘Penyanyi buat lagu, ramai yang syok sendiri’ – Habsah Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIA bukan sahaja legenda, namun tidak keterlaluan jika diingat sebagai sebuah ‘institusi’ dalam jagat seni muzik dan sinema tanah air. 

Lebih mesra disapa Kak Chah, susuk dengan nama besar Datuk Habsah Hassan itu menganyam kata menjadi jiwa, meracik emosi membentuk puisi, lalu menghidupkan lagu sehingga bernafas merentas zaman.

Lebih lima dekad mengabdi diri, sentuhan magis wanita kelahiran Singapura itu sudah melahirkan ribuan karya penuh makna. Setiap bait lirik terbit daripada jiwa halus, sarat kiasan, menusuk rasa terdalam manusia. 

Dari suara emas Allahyarham Datuk Sudirman Arshad hingga lenggok jantan Datuk Jamal Abdillah dan kemerduan vokal Datuk Seri Siti Nurhaliza, semuanya teguh di atas nadi kata ciptaan beliau.

Dalam dunia serba digital hari ini, ketelitian bahasa dan kehalusan jiwa dalam karyanya kekal menjadi penanda aras, seolah-olah mercu suar buat generasi baharu.

Seiring masa berlari, Kak Chah mengakui bangga melihat kebangkitan anak seni kini,  ramai mampu mencipta lagu sendiri, mengawal perjalanan kerjaya tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain. 

Namun di sebalik keterujaan itu, terselit kebimbangan tentang satu penyakit senyap iaitu ego, syok sendiri dan keghairahan menguasai segala-galanya.

Buang ego

“Saya perasan, orang muda sekarang semuanya mahu buat sendiri. Mahu jadi produser, mahu jadi penyanyi, mahu jadi komposer tapi kita manusia ada batas. Bukan semua orang boleh jadi macam P. Ramlee, Sudirman, kita mesti tahu had kita.

“Kadang-kadang mungkin kerana tamak atau ego, tidak mahu gunakan hasil kerja orang lain tetapi kita kena terbuka. Kita hasilkan untuk masyarakat, bukan untuk diri sendiri semata-mata.

“Kalau semuanya mahu buat ikut tekak sendiri, itulah orang kata ‘syok sendiri’. Kita kata ini lagu kita, suara kita, kita buat untuk kita, kalau begitu, dengar sahajalah sendiri dan jangan bagi orang dengar,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, fenomena ‘syok sendiri’ mungkin mampu melahirkan satu dua karya meletup, namun tidak menjamin kelangsungan jangka panjang.

TURUT dikenali sebagai penerbit filem, Habsah Hassan selayaknya digelar pujangga dengan ratusan lirik lagu malar segar yang bukan sahaja popular malah kedekatannya dengan pendengar merentasi zaman.

 

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bakat generasi baharu cukup besar, namun tanpa kesediaan membuka ruang kerjasama, potensi tersebut boleh lenyap begitu sahaja.

“Mungkin ada satu dua karya kebetulan meletup tapi awak mahu bertahan lama atau tidak? Saya selalu tanya, tujuan jadi artis itu apa? Untuk glamor, duit atau kerana seni? Kalau mahu bertahan, banyak perkara perlu belajar dan ego tidak boleh menguasai diri.

“Budak-budak sekarang cepat naik, tetapi cepat juga hilang. Sayang, sebab bakat itu ada. 

“Tetapi kalau tidak mahu berubah dan terlalu mahu menguasai segalanya, memang sukar. Kita mesti bersedia bekerjasama dengan orang lain,” ujarnya.

Dalam dunia seni penuh persaingan, pesan Habsah cukup jelas, bakat sahaja tidak cukup, tanpa kerendahan hati dan keterbukaan, seni akan mati sebelum sempat berkembang.

Katanya, seni bukan medan membuktikan kehebatan individu semata-mata, sebaliknya ruang berkongsi rasa dan pengalaman.

“Luaskan kreativiti, buka ruang, beri peluang kepada orang lain. Di situlah karya akan jadi lebih besar daripada diri kita sendiri. Pengalaman kita terhad sebab itu perlu dengar cerita orang lain, tukar pandangan. Dari situlah lahir karya lebih luas.

“Macam lagu Merisik Khabar, bukan pengalaman saya tetapi hasil perbualan, saya dapat rasa emosi itu. Bila diterjemah, ramai orang boleh kaitkan dengan hidup mereka.

“Kalau kita hanya ikut selera sendiri, karya jadi sempit. Sedangkan muzik itu luas. Kita kena buka ruang dan minda. Tak rugi belajar apatah lagi bertanya. 

“Orang tua-tua kata, tak hilang bisa ular menyusur akar. Lagi banyak kita belajar, lagi tajam karya kita,” luahnya.

AI merosakkan

Masih dalam konteks menghasilkan karya berkualiti, penulis sengaja mengusik pandangannya mengenai ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini mampu mencipta melodi dan lirik hanya dengan satu ‘prompt’. 

Jawapan wanita kacukan Melayu dan Cina itu tidak berlapik, tegas, jujur dan sarat kebimbangan.

“AI boleh merosakkan. Memang ada sisi positif, tetapi jika tidak berhati-hati, banyak negatif. Kita tidak boleh ambil 100 peratus kerana itu mesin dan sekadar himpunan maklumat, ibarat cantum dan salin semula sahaja.

“Mungkin tidak semua dalam rujukan itu tepat. Jadi kita tetap perlu membaca, bertanya dan menilai. Saya sendiri risau, memang ada melodi kedengaran sedap, tetapi jiwanya tiada. Kita dengar sekadar lalu, tidak meresap ke dalam hati. Itu beza mesin dengan manusia,” tuturnya.

Baginya, teknologi bukan musuh, tetapi tidak juga ‘tuhan’ baharu dalam penciptaan seni.

“Saya tidak pernah menolak perkembangan teknologi. Kita tidak boleh menghalangnya, seperti ombak, tetap akan datang, namun mesin tetap berbeza dengan manusia. 

“Sejauh mana kita mahu menipu diri sendiri? Orang boleh menilai, mereka tahu mana datang daripada usaha sendiri, mana hasil mesin.

DALAM nada yang tidak berlapik, Habsah melihat penggunaan AI dalam penciptaan lagu dan seni kata boleh merosakkan nilai seni itu sendiri jika tidak diaplikasi secara jujur.  – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

 

“Kalau mahu karya malar segar, mesti kena lahir daripada hati. Saya selalu tekankan, karya seni perlu datang dari hati, barulah mampu menyentuh hati pendengar,” jelasnya.

Beliau turut mengupas kepentingan adab dalam penghasilan karya, satu nilai yang semakin longgar dalam arus moden.

“Bakat anugerah Tuhan, bukan diberi sia-sia. Kita ada tanggungjawab, bukan sekadar menghibur. Dalam hiburan, kita boleh selitkan naratif positif. Kalau lagu itu popular, dia akan hidup lama, merentas masa.

“Sebab itu saya cerewet. Saya jaga bahasa, tema dan cerita. Kita tidak boleh mensia-siakan bakat begitu sahaja,” tegasnya.

Mengulas landskap lirik masa kini yang semakin ‘rojak’, wanita berusia 76 tahun itu tidak menuding jari, sebaliknya melihatnya sebagai sebahagian kitaran zaman, namun tetap mengingatkan soal nilai.

Tegasnya, karya tidak boleh sekadar lahir daripada keseronokan kosong tanpa isi jiwa.

“Saya tidak salahkan generasi muda. Setiap zaman ada trend sendiri, berubah-ubah tetapi trend tidak kekal lama. Kalau ada bakat, hasilkan karya terbaik supaya panjang hayatnya.

“Antara sebabnya kurang pengalaman, kurang membaca dan pergaulan terhad. Kalau hanya berada dalam kelompok sama, hasilnya juga sama. Saya sarankan bergaul dengan orang lebih berpengalaman, lebih intelektual. Jangan rasa rendah diri.

“Kalau hanya menulis ikut rasa suka semata-mata, apa isi sebenarnya? Selain cinta dan hiburan, apa lagi mahu disampaikan? Sebab itu pembacaan, pengalaman dan pergaulan sangat penting,” tutupnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN