NORHASYIMA (kiri) menunjukkan durian yang dijual di Gerai Cinta Aroha Aurora di Raub baru-baru ini

Durian kampung serendah RM2, musang king RM8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Belum pun kemuncak musim, namun harga durian dijual murah serendah RM2 seki­logram bagi durian kampung, manakala RM8 sekilogram bagi musang king.

Pesta harga murah itu sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pelbagai jenis raja buah dalam jumlah yang banyak sekali gus boleh menikmatinya dalam tempoh panjang.

Malah, nikmat berganda buat pemborong apabila dapat menjual sehingga 10 tan durian kampung dan dua tan musang king sehari.

Seorang penjual dan pemborong durian, Norhasyima A. Hasyim, 43, berkata, meskipun baru lebih seminggu musim durian bermula, namun dia ­sudah boleh menjual musang king Raub dengan harga paling rendah antara RM13 hingga RM15 sekilogram.

“Pada masa ini musang king tidak banyak lagi dan saya mendapat bekalan hanya kira-kira dua tan sehari musang king Raub.

“Bagaimanapun durian kampung saya jual dengan harga antara RM3 hingga RM3.90 sekilogram, manakala durian kampung cai dijual dengan harga RM2 sekilogram,” katanya ­ketika ditemui di gerai Cinta Aroha Aurora Musang King di sini semalam.

Tambahnya, durian kampung A dari Perak dan Pahang yang dijual dengan harga RM3.90 mendapat sambutan kerana kualitinya yang baik setanding dengan durian klon.

Dalam pada itu, ditanya isu durian tidak laku, dia berkata, setakat ini, jualan duriannya tidak mencukupi bagi menampung bekalan termasuk permintaan daripada kilang dan penggemar durian.

Jelasnya, faktor musim raja buah yang bermula serentak di Perak, Pahang dan Johor membuatkan penawaran bertambah sekali gus raja buah itu dapat dijual lebih murah.

“Pada peringkat permulaan ini, saya mampu menjual sehingga 10 tan durian kampung sehari, manakala kira-kira dua tan durian musang king Raub sehari,” ujarnya.

Sementara itu seorang penjual dan peraih durian di Da­mak, Jerantut, Ahmad Mustafa,47, berkata, meskipun baru peringkat awal musim, musang king dijual dengan harga yang rendah berbanding sebelum ini.

Katanya, pada masa ini musang king dijual dengan harga antara RM8 hingga RM40 sekilogram berdasarkan kepada gred.

“Pada kali ini musang king orang kampung boleh makan, harga awal pun sudah murah. Buah durian kampung Damak belum lagi mungkin dalam se­minggu dua lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN