FOXBOROUGH, Amerika Syarikat – Ismael Saibari hanya memerlukan 71 saat untuk meledak gol terpantas Piala Dunia 2026 setakat ini sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Maghribi ke atas Scotland dalam aksi Kumpulan C di Stadium Gillette, awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad The Atlas Lions meraih tiga mata penting untuk menduduki tangga teratas carta Kumpulan C dengan empat mata daripada dua perlawanan dan semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Maghribi yang pernah mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar itu dilihat mendominasi perlawanan walaupun hanya meledak satu gol, apabila berjaya mengawal tempo permainan serta mengekang setiap ancaman Scotland.
Saibari yang turut menjaringkan gol ketika Maghribi mengikat Brazil 1-1 pada aksi pembukaan, sekali lagi membuktikan dia miliki penyudah berbisa apabila tenang meledak jaringan hasil hantaran Brahim Diaz sejurus sepak mula.
Pemain berusia 25 tahun itu yang dilaporkan semakin hampir menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich menerusi perpindahan bernilai €55 juta (RM260 juta), menjadi pemain kedua Afrika yang menjaringkan gol dalam dua penampilan pertama Piala Dunia selepas Mohamed Salah dari Mesir.
Jaringan awal itu ternyata merencatkan rentak Scotland yang turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Haiti 1-0 minggu lalu untuk mencatat kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia dalam tempoh 36 tahun.
Sebaliknya, skuad kendalian Steve Clarke dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan apabila Maghribi lebih agresif menguasai malah hampir menggandakan kelebihan pada babak pertama menerusi beberapa gerakan menarik, namun Bilal El Khannouss gagal menyempurnakan peluang terbaik yang hadir pada minit ke-36.
Selepas rehat, tekanan terus diberikan oleh wakil Afrika itu dengan Saibari hampir menambah jaringan apabila percubaannya yang terkena pertahanan lawan singgah di tiang gol.
Scotland cuba meningkatkan tekanan pada penghujung aksi, namun gagal mencari gol penyamaan dan kini berdepan tugas sukar apabila perlu menentang Brazil dalam aksi terakhir kumpulan, manakala Maghribi hanya memerlukan keputusan positif ketika bertemu Haiti untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik. -AGENSI














