KUALA TERENGGANU – Penganjur perhimpunan motosikal Yamaha RXZ terbesar negara, RXZ Members 8.0 memutuskan untuk mengekalkan tarikh acara pada 31 Julai dan 1 Ogos depan biarpun bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira banyak pertimbangan biarpun mengakui berat dilakukan.
“Kami mendengar setiap pandangan diberikan (peminat motosikal Yamaha RXZ) dan benar-benar memahami perasaan tersebut.
“Namun, setelah melalui perbincangan yang panjang dan meneliti semua pilihan yang ada, kami terpaksa mengekalkan tarikh RXZ Members 8.0 pada 31 Julai dan 1 Ogos depan,” katanya menerima akaun media sosial rasmi RXZ Members – Official malam tadi.
Terdahulu sebahagian peminat motosikal Yamaha RXZ terutama yang berasal dari Negeri Sembilan memohon tarikh penganjuran RXZ Members 8.0 dipinda memandangkan ia bertindih dengan tarikh pengundian PRN negeri itu yang baru diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.
Mohamad Faizal berkata, pihaknya sedar pertindihan tersebut pasti mengecewakan penyokong RXZ Members khususnya dari Negeri Sembilan yang saban tahun memeriahkan perhimpunan motosikal Yamaha RXZ berkenaan.
Beliau berkata, ketiadaan golongan tersebut nanti demi menunaikan tanggungjawab terhadap negara sebagai pengundi amat dihormati.
“Jika anda tidak dapat hadir kerana menunaikan tanggungjawab tersebut (mengundi), ketahuilah anda tetap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members,” katanya. – KOSMO! ONLINE














