BOSTON – Pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi memberi amaran awal kepada Scotland apabila menegaskan The Atlas Lions sangat dahagakan kemenangan untuk membuka laluan mereka mencapai impian besar.
Selepas berjaya meraih satu mata ketika mengikat Brazil 1-1 pada aksi pembukaan sebelum ini, Maghribi nekad untuk meraih tiga mata pertamanya pada kempen kali ini dalam pertemuan di Stadium Boston pagi esok menentang Scotland.
Ouahbi berkata, pasukannya tidak lagi mahu dikenang semata-mata sebagai pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, sebaliknya berazam mencipta sejarah yang lebih besar pada edisi kali ini.
“Jika anda menawarkan saya satu lagi aksi separuh akhir seperti yang kami capai pada 2022, saya akan katakan saya mahu pergi lebih jauh. Ia adalah satu perlawanan yang baik.
“Sudah tentu kami mahu lebih daripada satu mata ketika menentang Brazil, tetapi kami menerimanya dan fokus kepada perlawanan seterusnya kerana peluang untuk menang itu sentiasa ada,” katanya.
Selain memiliki pemain berpengalaman seperti Yassine Bounou dan Achraf Hakimi, kemunculan beberapa pemain muda seperti Ayyoub Bouaddi dan Samir El Mourabet turut memberikan petanda positif buat masa depan Maghribi.
Kini, fokus Maghribi terarah sepenuhnya kepada Scotland dengan kemenangan mampu meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati, sekali gus meneruskan impian mencipta satu lagi sejarah di pentas Piala Dunia. – AGENSI














