PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menzahirkan rasa bangga selepas membimbing pasukan itu mencipta rekod baharu jaringan terbanyak dalam semusim Liga Super menerusi 103 gol daripada 23 perlawanan dengan berbaki satu aksi.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan disiplin tinggi serta komitmen luar biasa yang dipamerkan barisan pemain sepanjang musim.
“Sudah tentu saya gembira dengan rekod jaringan ini. Ia bukan mudah untuk mencipta rekod baharu apabila JDT sendiri menetapkan standard yang sangat tinggi dan ia menjadi pembakar semangat kepada pemain.
“Rekod 103 gol itu hanyalah angka. Di sebaliknya, ia adalah hasil kerja keras semua pemain dari minit pertama hingga wisel penamat dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam masa sama, Munoz menegaskan fokus utama skuad Harimau Selatan kekal untuk terus memperkukuh prestasi bagi mengekalkan dominasi dalam saingan liga domestik.
“Sudah pasti musim depan kami mahu terus melangkah ke hadapan. Mungkin fokus kami adalah untuk tidak dibolosi gol atau mungkin menjaringkan lebih banyak gol lagi,” ujarnya.
Sebagai rekod, JDT berjaya memecahkan rekod jaringan terbanyak Liga Super semusim yang pernah mereka cipta sendiri pada 2023 di bawah kendalian Esteban Solari dengan 100 gol dalam 26 perlawanan.
Malah, kemenangan besar 7-0 ke atas Kuala Lumpur City FC malam tadi turut menyaksikan JDT mencatat 107 perlawanan tanpa kalah, sekali gus menghampiri rekod kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang merekodkan 108 aksi tanpa kalah antara 1989 hingga 1994.
Sementara itu, Munoz memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai spekulasi membabitkan dua tonggak utama pasukan, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo yang dikaitkan dengan status pemain naturalisasi Harimau Malaya.
“Sudah tentu ia akan menjadi sesuatu yang positif jika Bergson dan Hidalgo mempunyai kapasiti untuk mendapatkan pasport Malaysia. Tetapi buat masa ini, mereka adalah pemain JDT dan perkara itu masih dalam perbincangan serta belum ada keputusan rasmi,” katanya.














