fbpx
Nasi lemak adalah makanan kegemaran ramai malah menu mudah yang diterima baik oleh pelancong luar negara untuk menikmatinya.

Oriental Kopi mahu catat rekod jualan nasi lemak terbanyak dalam tempoh 8 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Pekerja Jumaat ini, Oriental Kopi bakal melakar sejarah menerusi percubaan mencipta Rekod Dunia Guinness bagi kategori “Jumlah Jualan Nasi Lemak Terbanyak dalam Tempoh 8 Jam”.

Acara ini akan berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya yang  mana sasaran jualan adalah sebanyak 10,000 hidangan dalam tempoh yang ditetapkan.

Inisiatif ini bukan sekadar usaha untuk memecah rekod, malah menjadi platform penting dalam mengetengahkan kekayaan warisan kulinari Malaysia ke persada dunia.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk turut serta dan menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Sebagai simbol perpaduan negara, nasi lemak menyatukan rakyat melalui cita rasa autentik.

Pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan berkata, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, setiap hidangan nasi lemak akan ditawarkan pada harga istimewa, RM9.90 sepanjang tempoh cabaran agar mereka dapat menikmati hidangan ikonik ini sambil menyaksikan detik sejarah tercipta.

“Sebagai tanda penghargaan, bagi setiap pembelian satu hidangan nasi lemak akan disertakan dengan memorabilia peringatan ‘gold coins’ edisi terhad (selagi stok masih ada).

“Selain itu, setiap pembelian juga melayakkan pengunjung menerima satu baucar Oriental Kopi bernilai RM2.

“Bagi pengunjung yang membuat pembelian lima hidangan dalam satu transaksi akan menerima cenderamata gelas peringatan eksklusif yang direka khas sempena acara ini sebagai simbol penghargaan atas sokongan mereka dalam menjayakan usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

Chan menerangkan, usaha ini bukan sekadar mengejar rekod, tetapi sebagai simbol kebanggaan dan perpaduan nasional. Bagi menjamin ketelusan, seluruh proses dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Guinness World Records melalui dokumentasi rapi dan pengesahan bebas yang menyeluruh.

“Nasi lemak adalah hidangan ikonik yang melambangkan ‘Rasa Malaysia’ berupaya menyatukan masyarakat merentasi budaya dan generasi. Rekod ini bukanlah hasil usaha individu, sebaliknya terhasil daripada sokongan dan penyertaan ramai,” ujarnya.

Selain itu, bagi menambah kemeriahan, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama berupa iPhone 17 Pro, sekali gus menambah keterujaan serta menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan bermakna.

Tambah Chan, bagi mencapai sasaran 10,000 hidangan dalam tempoh lapan jam, operasi acara ini memerlukan tahap kecekapan yang tinggi, dengan purata jualan satu hidangan setiap dua saat.

Cabaran ini menuntut penyelarasan operasi yang efisien, ketepatan pelaksanaan serta konsistensi kualiti yang tinggi sepanjang acara berlangsung.

Ia juga adalah kategori rekod baharu, dengan Oriental Kopi sebagai jenama pertama yang mempelopori usaha ini.

Dalam pada itu, syarikat menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar mengejar rekod, malah simbol kebanggaan dan perpaduan nasional.

Bagi menjamin ketelusan, seluruh proses dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Guinness World Records melalui dokumentasi rapi dan pengesahan bebas yang menyeluruh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN