Perpaduan antara kaum merupakan satu daripada aspek penting yang menjadi tunjang kekuatan, bahkan identiti Malaysia itu sendiri.
Ia hadir bersama dengan perasaan hormat-menghormati serta toleransi yang kemudiannya diterjemahkan kepada keamanan yang kini dinikmati semua warganya.
Banyak aspek menjadi ‘rencah’ kepada perpaduan yang dicapai itu, dengan satu daripadanya yang boleh dikatakan cukup penting adalah sejarah.
Sejarah negara yang banyak membentuk jati diri rakyat Malaysia, sejak zaman kemerdekaannya pada 1957 bahkan melangkaui abad-abad terdahulu.
Sebut sahaja Kesultanan Melayu Melaka, pasti ia diketahui oleh rakyat negara ini. Disusuli dengan pelbagai catitan sejarah yang terus dicatat sehinggalah ke hari ini.
Justeru, sudah tentulah pengumpulan rekod sejarah merupakan satu tugas penting dan wajar sekali diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya oleh kerajaan.
Arkib Negara Malaysia (ANM) wajar diberikan pujian serta sokongan tidak berbelah bahagi kerana mereka menggalas tugas penting sebagai pengumpul rekod sejarah.
Mereka bahkan mencapai kejayaan membanggakan apabila berjaya mengumpul ribuan rekod sejarah yang tersimpan dalam masyarakat negara ini.
Pengumpulan rekod sejarah itu dilaksanakan menerusi inisiatif komuniti yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Antara rekod tersebut merangkumi gambar dan dokumen lama selain khazanah dari era 1990-an seperti rakaman kaset dan VHS yang bernilai untuk tatapan generasi masa hadapan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, koleksi tersebut disumbangkan oleh masyarakat dan individu sendiri susulan program komuniti.
“Aktiviti kampung, sekolah banyak sejarah. Kalau bernilai sejarah, kita akan simpan,” katanya ketika menghadiri program Persidangan Persatuan Arkib Audiovisual Asia Tenggara-Pasifik Ke-30 di Ipoh baru-baru ini.
Beliau berkata, usaha arkib komuniti di Malaysia telah menjadi contoh amalan terbaik di rantau ini.
Katanya, banyak rekod bernilai berada di luar simpanan rasmi seperti dalam album keluarga, koleksi kampung, persatuan tempatan, rumah ibadat, sekolah dan pengumpulan peribadi.
“Sehingga Mac 2026, sebanyak 309,740 bahan arkib komuniti telah direkodkan dalam simpanan menerusi program pengumpulan koleksi secara berterusan.
“Gambar tentang sambutan di kampung, rakaman audio muzik tradisional, video aktiviti masyarakat atau sejarah lisan yang dikongsikan oleh warga emas juga dapat memberikan maklumat kepada orang ramai tentang warisan negara,” katanya.
Dengan itu, boleh disimpulkan bahawa semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan sebarang peristiwa direkodkan atau dokumen-dokumen penting selain perkakas serta artifak terus dipelihara oleh semua pihak.
Ini kerana ia dapat membantu pihak berwajib seperti ANM untuk terus memelihara sejarah ataupun ‘memori’ rakyat di negara ini yang mencecah 34.4 juta pada suku pertama tahun ini.














