fbpx
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan kapal MV Hondius. – AFP

Penyakit jarang berlaku kembali mengganas, 3 maut di atas kapal persiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRAIA, CAPE VERDE – Tiga orang meninggal dunia di atas sebuah kapal persiaran di Lautan Atlantik, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, dengan satu kes disahkan hantavirus.

Wabak itu berlaku di atas kapal MV Hondius, yang dalam perjalanan dari Ushuaia di Argentina ke Tanjung Verde.

“Setakat ini, satu kes hantavirus telah disahkan menerusi ujian  makmal, manakala terdapat lima lagi kes disyaki.

“Daripada enam individu yang terkesan,  tiga telah meninggal dunia dan seorang berada di unit rawatan rapi di Afrika Selatan,” kata WHO.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Afrika Selatan memberitahu AFP bahawa wujud  wabak ‘penyakit pernafasan akut teruk’ yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, dengan mangsa ketiga berada di unit rawatan rapi di Johannesburg.

Pesakit yang dirawat di Johannesburg diuji positif hantavirus, keluarga virus yang boleh menyebabkan demam berdarah, kata jurucakap Afrika Selatan, Foster Mohale.

Dalam kenyataannya WHO pula  berkata,  jangkitan hantavirus biasanya dikaitkan dengan pendedahan persekitaran seperti air kencing atau najis tikus yang dijangkiti.

“Walaupun jarang berlaku, hantavirus boleh merebak sesama manusia dan boleh mengakibatkan penyakit pernafasan teruk serta memerlukan pemantauan pesakit, sokongan dan tindak balas  teliti,” katanya.

Individu pertama di atas kapal persiaran yang mengalami gejala ialah penumpang lelaki berusia 70 tahun. Dia meninggal dunia di atas kapal dan mayatnya kini berada di pulau Saint Helena, wilayah Britain di Atlantik Selatan, ujar  Mohale.

Isterinya yang berusia 69 tahun juga jatuh sakit di atas kapal dan telah dipindahkan ke Afrika Selatan, di mana dia meninggal dunia di sebuah hospital di Johannesburg, katanya sambil menambah, mereka belum dapat mengesahkan kewarganegaraan mangsa.

Kes ketiga yang melibatkan  seorang warga Britain berusia 69 tahun  juga telah dipindahkan ke Johannesburg di mana dia sedang dirawat di unit rawatan rapi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu di platform  X bahawa agensi itu sedang bekerjasama dengan pengendali kapal dan negara anggota yang terjejas.

“WHO sedang memudahkan pemindahan perubatan dua penumpang yang bergejala, menjalankan penilaian risiko sepenuhnya dan menyokong mereka yang terjejas di atas kapal,” kata Tedros.

MV Hondius disenaraikan sebagai kapal persiaran kutub popular  di laman web beberapa agensi pelancongan. Ia dikendalikan syarikat pelancongan berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions.

Kapal itu boleh memuatkan kira-kira 170 penumpang dan mempunyai kira-kira 70  anak kapal.

Manusia boleh dijangkiti i hantavirus daripada sentuhan dengan tikus dijangkiti atau najisnya, atau digigit atau menghirup habuk yang tercemar. Terdapat pelbagai jenis hantavirus di bahagian dunia yang berbeza, dengan gejala  berbeza. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN