KETIKA ini, kita dikejutkan dengan satu virus bawaan tikus yang mula meraih perhatian dalam dunia perubatan global.
Meskipun kedengaran agak asing bagi segelintir pihak, namun hantavirus (HV) sebenarnya mampu meragut nyawa dan jauh lebih licik daripada ancaman kencing tikus atau leptospirosis yang biasa didengar oleh masyarakat.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, hantavirus merupakan jangkitan virus daripada keluarga Hantaviridae yang mempunyai 38 jenis strain berbeza.
Menariknya, virus ini bukan sahaja boleh ditemui pada tikus, malah boleh berada pada haiwan lain seperti tupai dan kelawar.
Tambahnya, tikus bertindak sebagai haiwan reservoir (pembawa) yang boleh membawa virus ini di dalam badannya tanpa menunjukkan sebarang simptom sakit atau membawa kepada kematian.
Virus ini kemudiannya dikeluarkan melalui sisa kumuhan haiwan tersebut seperti najis, air kencing, air liur dan bangkai tikus itu sendiri.
Dr. Sharifa berkata, virus ini pernah dikesan pada tikus tempatan di Pelabuhan Klang, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang suatu masa dahulu.
“Bagaimanapun, penemuan itu sudah lama dan tidak ada kes HV terjangkit kepada manusia berlaku.
“Ini bermakna virus tersebut tidak berada dalam nilai ambang jangkitan yang tinggi dalam negara.
“Jadi agak sukar tikus lokal menyebarkannya kepada komuniti,” ujar Prof. Dr. Sharifa.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan perbezaan ketara antara penyakit bawaan tikus iaitu leptospirosis dengan virus HV agar masyarakat tidak keliru.
“Leptospirosis dan HV ini hampir sama, tapi leptospirosis ialah sejenis jangkitan bakteria yang boleh dirawat menggunakan ubat antibiotik, manakala HV pula dirawat secara simptomatik,” katanya.
HV secara umumnya memberikan dua jenis kesan utama kepada manusia, bergantung kepada strain yang menjangkiti.
Kesan pertama ialah Hantavirus Cardiopulmonary Syndrome (HPS) disebabkan strain Andes di benua Amerika yang menyerang organ paru-paru serta jantung sehingga boleh mencatatkan kadar kematian mencecah 40 hingga 50 peratus.
Manakala kesan kedua pula ialah Hemorrhagic Fever with Renal Syndrome (HFRS) didominasi strain Seoul di Asia dan Eropah yang menyerang buah pinggang hingga menyebabkan kegagalan ginjal, namun ia dianggap kurang parah berbanding HPS.
Menyentuh mengenai kaedah penularan, virus ini, ia boleh merebak daripada manusia ke manusia melalui kontak rapat yang lama.
“Cara penularan ini tidak berlaku secara rambang dengan mudah, tetapi memerlukan kontak rapat dengan pesakit HV lain.
Contohnya, duduk sebilik dengan pesakit dalam jangka masa agak lama.
“Jangkitan ketara akan timbul antara satu hingga lapan minggu selepas pendedahan ke virus. Umumnya, ini dinyatakan sebagai waktu inkubasi penyakit HV,” ulasnya lanjut.
Pada peringkat awal, tanda yang perlu diperhatikan termasuklah demam, sakit kepala, sakit badan, keletihan, batuk, loya, muntah dan cirit-birit.
Sementara itu, Pegawai Perubatan, Dr. Anbarasan Arun memperincikan bahawa virus ini sebenarnya pertama kali dikesan di Korea Selatan sekitar tahun 1950, sebelum berjaya dipisahkan sepenuhnya pada tahun 1978.
Beliau menyatakan penyebaran virus ini berlaku ketika aktiviti pembersihan kawasan yang dipenuhi sarang tikus, contohnya stor lama yang terbiar berhabuk.
“Virus ini juga boleh merebak menerusi gigitan tikus atau seseorang termakan makanan yang telah tercemar dengan sisa kotoran haiwan perosak tersebut,” jelasnya.
Menurut Dr. Anba, apabila virus mula merebak dan menyerang golongan berisiko tinggi, pesakit akan mula mengalami komplikasi berat seperti pendarahan serta kesan paru-paru berair.
Malah pada fasa kritikal, pesakit susah bernafas akibat kegagalan fungsi paru-paru serta jantung.
Memandangkan tiada ubat khusus atau vaksin komersial setakat ini, rawatan yang diberikan di hospital hanyalah bersifat rawatan sokongan (supportive treatment) mengikut gejala yang ada.
Sekiranya tahap pernafasan pesakit menjadi terlalu kritikal, doktor terpaksa menidurkan pesakit dan menggunakan bantuan mesin pernafasan di unit rawatan rapi (ICU).
Bagaimanapun, masyarakat di Malaysia tidak perlu panik kerana setakat ini tiada kes mengenai HV dilaporkan di Malaysia.
Bagi langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menutup segala laluan tikus, memasang perangkap, serta wajib memakai penutup muka, sarung tangan getah dan pakaian lengkap semasa melakukan pembersihan.














