fbpx
Hanifah Hajar pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Fungsi penjejak hantavirus dalam MySejahtera dipertimbang jika perlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Aplikasi MySejahtera akan ditambah baik dengan fungsi penjejak wabak hantavirus sekiranya terdapat keperluan kelak susulan daripada perkembangan penularan virus itu di beberapa negara Barat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan semasa virus tersebut dan tidak menolak kemungkinan memperluas fungsi MySejahtera sebagai medium pemantauan.

“Buat masa sekarang, kita akan melihat dan memantau sebanyak yang boleh, jika perlu, kita akan pastikan ia disertakan (dalam aplikasi MySejahtera) daripada segi ‘monitoring’ dalam aplikasi tersebut.

“Kita harap bahawa perkara ini terkawal dan akan reda kerana mungkin daripada segi pengalaman kita selepas Covid-19, kita harus berwaspada pada tahap yang tinggi dan kita tak mahu virus itu merebak,” katanya.

Hanifah Hajar berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM akan menambah baik aplikasi MySejahtera susulan kes hantavirus di beberapa buah negara, selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Setakat ini, senarai wabak sedia ada pada menu ‘Disease Tracker’ dalam aplikasi MySejahtera meliputi penyakit denggi; tuberkulosis (TB); demam campak; penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), COVID-19; rabies manusia dan rabies haiwan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, World Health Organization (WHO) sentiasa berhubung rapat dengan negara-negara lain termasuk Malaysia bagi memantau perkembangan semasa berkaitan virus berkenaan.

“Dengan hubungan rapat bersama WHO dan organisasi yang berkaitan, kita mendapati bahawa perkara ini masih terkawal di negara-negara Barat yang terlibat, kerana sekarang belum mempunyai indikasi penularan ke Asia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN