SINGAPURA – Dua penduduk Singapura yang menaiki kapal persiaran MV Hondius diuji negatif untuk jangkitan hantavirus, kata Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) semalam.
Dua lelaki masing-masing berusia 65 dan 67 tahun itu berada di atas kapal MV Hondius dan juga dalam penerbangan sama dengan kes hantavirus yang disahkan dari St Helena menuju ke Johannesburg pada 25 April lalu, kata CDA.
Pesakit yang disahkan itu tidak pergi ke Singapura dan telah meninggal dunia di Afrika Selatan.
Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan CDA menjalankan ujian dengan ‘pelbagai sampel yang dikumpulkan daripada dua individu tersebut’. Siri ujian mengesahkan bahawa hantavirus termasuk virus Andes ‘tidak dikesan,’ kata CDA dalam satu kenyataan lewat semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu akan kekal dikuarantin selama 30 hari dari tarikh pendedahan terakhir, dan ujian akan dijalankan semula sebelum mereka dibebaskan, tambah CDA, sambil menyatakan: “risiko kepada orang awam di Singapura kekal rendah”.
Mereka tiba di Singapura awal bulan ini sebelum diasingkan dan dipantau di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) Singapura. – AFP














