fbpx
Pengurusan kanan BMG Global melaksanakan topping off bagi projek hartanah terbaharu, Tampoi Heights di Johor baru-baru ini.

BMG Global fokus projek rumah mampu milik untuk rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pembangunan pesat sektor hartanah di negeri Johor berjaya memberi peluang banyak syarikat pemaju untuk bersama menjadi pemain aktif dalam industri tersebut, salah satunya adalah BMG Global Sdn. Bhd. (BMG Global), sebuah syarikat bumiputera yang telah ditubuhkan pada tahun 2005.

Syarikat yang memiliki kepakaran lebih daripada 20 tahun dalam industri ini telah diiktiraf sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) dan memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah berkualiti tinggi yang menepati keperluan pelanggan secara cekap serta menepati masa.

Dipimpin oleh barisan profesional berpengalaman dalam bidang kejuruteraan, pembinaan dan pembangunan, BMG juga komited dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui latihan praktikal yang berterusan. Selain menawarkan projek rumah mampu milik (RMM) yang dapat memenuhi keperluan kumpulan sasaran.

Pengarah Eksekutifnya, Sakeri Maming berkata, selain menekankan kualiti, syarikat tersebut turut memberi fokus kepada pembangunan perumahan yang kos efektif dan mampan, di samping mengamalkan budaya inovasi, kerjasama berpasukan dan komunikasi terbuka bagi memastikan peningkatan berterusan dalam organisasi.

“Fokus kami adalah untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah pada harga berpatutan tanpa mengorbankan aspek keselesaan dan kemudahan,” katanya ketika ditemui pada majlis Topping Off bagi projek Tampoi Heights di Tampoi, baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang projek terbaharu syarikat di Tampoi Heights, berapakah nilai pembangunan kasar (GDV) dan bilakah ia akan disiapkan?
SAKERI: Projek ini dibangunkan dengan GDV, sekitar RM400 juta yang merupakan pembangunan kediaman berkonsepkan moden yang merangkumi 877 unit pangsapuri perkhidmatan dalam tiga blok setinggi 26 dan 27 tingkat, termasuk enam tingkat parkir kereta berpodium.

Selain itu, projek ini turut dilengkapi empat unit lot kedai dan pelbagai kemudahan yang memenuhi kehendak semasa se­perti kolam renang dewasa dan kanak-kanak, gimnasium, ge­langgang futsal/pickle ball dan taman permainan kanak-kanak.

Jika ikut perjanjian, pembangunan ini akan siap sepenuhnya pada Januari 2027, namun alhamdulillah kami berjaya mendahului jadual lebih awal 10 bulan. Projek ini mula dibangunkan September 2023.

Berapa harga jualan, bagaimana sambutan orang ramai terhadap projek baharu ini?
Projek ini ditawarkan pada harga bermula RM323,000, projek ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila 98 peratus unit telah terjual.

Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, ia dan ditawarkan dalam dua pilihan keluasan iaitu jenis A (805 kaki persegi) dan jenis B (950 kaki persegi). Pembeli sepenuhnya adalah rakyat Malaysia.

Bilakah semua unit akan habis dijual dan bilakah ha­sil daripada projek tersebut memberi kesan positif kepada keuntungan syarikat?
Matlamat kami adalah untuk membina rumah mampu milik dan fokus kepada rakyat Malaysia. Alhamdulillah, pasaran di Johor sangat baik.

Jika kita fokus kepada segmen yang betul iaitu RMM (rumah mampu milik), pasarannya masih wujud dan baik. Rumah di bawah RM500,000 masih menjadi tumpuan.

Bagaimanapun, harga kos dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus dalam masa setahun jadi diharap kerajaan boleh memberikan inisiatif khusus untuk pemaju yang membina RMM bagi memenuhi permintaan rakyat tempatan.

Masa depan memang mencabar, namun dengan langkah yang baik, strategi yang tepat dan sokongan yang berterusan daripada kerajaan, cabaran itu dapat juga akan atasi. Selepas projek siap sepenuhnya tahun depan, kami jangka keuntungan syarikat naik sehingga 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan projek.

Boleh jelaskan tentang projek hartanah BMG yang lain, berapa banyak projek yang sedang dibangunkan?
Selain Tampoi Heights, Tampoi, kami juga terlibat dalam ­projek pembinaan Awana Mas fasa 2 dengan nilai GDV RM59 juta.

Projek akan datang pula adalah Starloft Residence (konsep RMM) di Batu Muda, Kuala Lumpur dengan melibatkan GDV, RM 696 juta serta Solaris Suites, Jalan Tuaras, Likas, Sabah dengan nilai GDV sebanyak RM355 juta.

Apakah perancangan syarikat pada tahun ini, adakah lebih fokus di Selatan?
Walaupun dengan ketidakten­tuan pasaran dan kesan kenaikan harga minyak, kami merancang untuk lancarkan projek hartanah pada tahun ini bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk pembinaan satu juta RMM. Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada KL, Johor dan Sabah.

Bagaimana kesan geopolitik dan perang di Asia Barat beri kesan kepada kenaikan harga pembinaan?
Kami rasai kenaikan kos sehingga 15 ke 20 peratus, ia satu cabaran buat kami kerana kami tidak boleh menaikkan harga rumah kerana ia adalah projek RMM.

Kami berharap kerajaan dapat memberikan subsidi atau pakej ransangan ekonomi untuk membantu pemaju yang membina RMM. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN