fbpx
Gambar fail tangkapan PATI di Johor baru-baru ini.

Hanya 30 minit ke Indonesia dari Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 53 laluan tikus di sepanjang perairan negeri ini dipercayai menjadi pintu keluar masuk utama sindiket penyeludupan migran dari Indonesia ke Malaysia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut kira-kira 20 ­laluan dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ yang paling aktif digunakan sindiket.

Menurutnya, antara kawasan yang sering menjadi tumpuan kegiatan itu ialah Pontian, Kukup, Sungai Rengit, Minyak Beku, ­Parit Jawa, Sungai Pulai, Punggai, ­Pontian Besar, Sungai Balang dan Tanjung Piai.

“Selain itu, terdapat juga laluan aktif di kawasan Penawa, Rambah, Sungai Sarang Buaya, Pasir Gogok, Sedeli, Penerok, Benut, Tiram, Tenggaroh dan Sungai Buntu.

“Bagaimanapun, jumlah ­laluan tikus ini boleh berubah kerana sindiket akan mencari laluan baharu sekiranya kawasan tertentu menjadi tumpuan penguatkuasaan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Kata Ab Rahman, kebanyakan migran yang menggunakan laluan tersebut berasal dari kawasan berhampiran Johor se­perti Batam dan Kepulauan Riau termasuk Tanjung Pinang di Indonesia.

“Perjalanan dari kawasan tersebut ke perairan Johor ha­nya mengambil masa kira-kira 30 minit hingga satu jam bergantung kepada kuasa enjin bot, keadaan cuaca dan arus laut.

“Disebabkan jaraknya yang dekat, sindiket mudah menghantar migran masuk dan keluar dari negara ini dalam tempoh singkat,” katanya.

Tambahnya, sindiket biasanya menggunakan bot fiber atau bot pancong yang dilengkapi enjin berkuasa tinggi bagi mempercepatkan perjalanan serta mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Ujarnya, kebanyakan pergerakan dilakukan pada waktu malam sebelum migran ditempatkan sementara di rumah transit, kebun atau kawasan hutan bakau berhampiran pesisir pantai.

“Mereka kemudiannya akan diambil oleh transporter darat untuk dihantar ke lokasi pekerjaan tertentu. Bagi yang mahu pulang ke Indonesia pula, mereka akan berkumpul di rumah transit sebelum dibawa menaiki bot pulang,” katanya.

Beliau berkata, kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket berbeza bergantung kepada jarak perjalanan dan permintaan, namun dianggarkan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap migran.

“Bagi transporter darat pula, upah yang diterima dianggarkan sekitar RM500 seorang, manakala penjaga pantai atau ‘tonto’ memperoleh bayaran antara RM100 hingga RM300,” jelasnya.

Mengulas statistik penguatkuasaan, beliau berkata sepanjang tahun 2025 sebanyak 32 serbuan dijalankan dengan 263 tangkapan direkodkan, keba­nyakannya di kawasan Pontian, Kukup, Tanjung Piai dan sekitar Forest City.

“Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, lima serbuan telah dilakukan dengan 34 tangkapan dicatatkan di kawasan sama yang dikenal pasti sebagai titik panas aktiviti penyeludupan migran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN