KOTA TINGGI – Hasrat 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk mencari rezeki di Malaysia tidak kesampaian apabila mereka diberkas sebaik sahaja dipercayai mendarat secara haram di Sungai Rengit, di sini semalam.
Dalam operasi antara pukul 11.45 malam hingga 4 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama anggota Tentera Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi persinggahan kumpulan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, hasil pemantauan mendapati kesemua individu terbabit dipercayai baru tiba sebelum serbuan dilakukan.
“Seramai 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Polis turut memberkas dua lagi lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan di dua lokasi berasingan yang dipercayai bertindak sebagai dalang membantu kemasukan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusof, kesemua suspek yang berusia antara 36 hingga 38 tahun bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-KOSMO! ONLINE














