fbpx
ONN HAFIZ bersalaman dengan Anthony Loke sempena Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, Kulai hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Onn Hafiz bertemu mata dengan Anthony Loke lepas ‘berbalah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Selepas beberapa kali berbalas kenyataan menerusi media, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akhirnya bertemu secara bersemuka pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai di sini hari ini.

Anthony Loke tiba di lokasi majlis kira-kira pukul 12.45 tengah hari sebelum disusuli Onn Hafiz lima minit kemudian.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat bersalaman dan berbual mesra sebelum menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis berkenaan.

Hubungan antara kedua-dua pemimpin berkenaan menjadi perhatian apabila berlaku pertikaman lidah susulan kenyataan Onn Hafiz pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu.

Pada majlis itu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor dilaporkan menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP dalam pembentukan kerajaan negeri sekiranya BN diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Beliau turut menyatakan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar berbanding bekerjasama dengan parti tersebut di peringkat negeri.

Kenyataan itu kemudian mendapat reaksi Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP apabila menyifatkan pendirian berkenaan bercanggah dengan realiti politik semasa memandangkan BN dan DAP merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Susulan itu, Anthony Loke pada Sabtu lalu menjemput Onn Hafiz menghadiri pelancaran perkhidmatan KTM Komuter baharu yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, Onn Hafiz menerusi kenyataan balas berkata beliau berasa terharu dengan jemputan tersebut, namun mendakwa belum menerima surat rasmi walaupun lawatan kerja ke program berkenaan telah dirancang lebih awal.

Beliau turut mendakwa beberapa lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke Johor sebelum ini tidak melibatkan dirinya atau EXCO kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio berkaitan.

Pertemuan hari ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu apabila mereka dilihat hadir dan berinteraksi secara profesional dalam majlis rasmi berkenaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN