HULU TERENGGANU — Seorang lelaki dan wanita dipercayai bakal berkahwin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Fortuner dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring, Bukit Kawah, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pukul 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa iaitu Hassan Shazali, 52, yang juga seorang guru, dan pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, Hassan dan Suzaimah dikatakan dalam dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas dipercayai menghadiri urusan di Kuala Terengganu dekat sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Fortuner dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60.96 meter.
“Kedua-dua tercampak keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, laluan dilalui kenderaan dipandu Hassan sebenarnya telah ditutup untuk kegunaan awam sejak lebih setahun lalu ekoran kejadian tanah runtuh.
Beliau berkata, mayat Hassan dan Suzaimah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














