LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot mampu menarik nafas lega apabila beberapa pemain utamanya dijangka kembali perkuatkan pasukan menjelang aksi dengan Nottingham Forest, malam esok.
Ketika ini, penjaga gol, Alisson Becker dijadualkan akan kembali menyertai rakan sepasukannya dalam latihan selepas mengalami kecederaan hamstring pada penghujung September lalu.
Kehadiran pemain penting bakal beri suntikan buat pasukan yang tewas tujuh kali dalam 10 perlawanan terakhir hingga kini hanya mampu menghuni kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris.
Kecergasan Alisson pastinya akan terus dipantau sebelum Slot membuat keputusan tentang kedudukannya sama ada sudah bersedia kembali perkuatkan pasukan pada perhitungan dengan Nottingham Forest.
Berdasarkan laporan media tempatan, Alisson mampu memastikan dirinya bersedia untuk merampas semula posisinya daripada Giorgi Mamardashvili yang sebelum itu sudah pun mempamerkan ketangkasan untuk mengelak Liverpool bolos lebih banyak.
Kehadiran Alisson juga dilihat mampu menjamin kestabilan buat barisan pertahanan dan Slot dijangka terus memantau perkembangan semasa bintang dari Brazil berkenaan.
Musim ini, The Reds yang hadir sebagai juara bertahan Liga Perdana Inggeris seakan hilang rentak, sering dipalit dengan aksi yo-yo apabila gagal mengekalkan permainan berkualiti dan kini ketinggalan lapan mata dengan Arsenal di puncak liga. – AGENSI














