KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis kerana disyaki mencederakan bapanya menggunakan pisau dalam kejadian di Setapak, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 6.42 petang.
“Suspek telah mencederakan (bapanya) akibat salah faham mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan (luka) di bahagian belakang badan dan lengan kiri. Siasatan mendapati, kecederaan tersebut disebabkan ‘torehan’ pisau oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Lazim berkata, mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala, suspek ditahan dan kes disiasat dibawah Seksyen 324/ 506 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari sehingga 20 November ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















