fbpx
KOLABORASI bersama agensi penguat kuasa, pemain industri dan institusi akademik antarabangsa dapat membangunkan kerangka kerja untuk keselamatan pekerja pembinaan di Malaysia. – Gambar hiasan

UiTM guna teknologi tingkat keselamatan sektor binaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASPEK keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan kini semakin dititikberatkan bagi menjamin kesejahteraan golongan pekerja yang rata-rata terlibat dalam sektor yang berisiko tinggi.

Dengan gabungan teknologi dan ilmuwan, aspek ini turut dikaji dengan lebih mendalam bagi menghasilkan garis panduan terbaik bagi pelaksanaan dalam industri.

Memandang berat akan perkara itu, sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengetuai sebuah projek antarabangsa utama bersama tiga universiti terkemuka Britain iaitu University of the West of England (UWE), The University of Manchester dan University College London (UCL).

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Profesor Ir. Ts. Dr. Che Khairil Izam Che Ibrahim, usaha strategik itu bertujuan mentransformasikan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam industri pembinaan Malaysia dengan memberi tumpuan kepada penerapan konsep Reka Bentuk untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DfOSH) bermula sejak peringkat awal projek dilaksanakan

“Statistik menunjukkan bahawa lebih 30 peratus kematian pekerja di Malaysia berpunca daripada sektor pembinaan, menjadikan inisiatif ini amat signifikan dalam menyokong pewartaan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.

“Projek ini hadir tepat pada masanya dan ia dibiayai oleh Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi (Britain) serta disokong oleh Program Penyelidikan dan Pemerkasaan Antarabangsa Majlis British dan

Akademi Sains Malaysia di bawah Dana Perkongsian Sains Antarabangsa (ISPF),” ujarnya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau, projek bertajuk ‘Memperbaiki Reka Bentuk Untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Malaysia Melalui Penglibatan Tiga Pihak Akademik-Industri-Kerajaan, Pengukuhan

Kapasiti dan Pertukaran Pengetahuan’ ini turut diterajui bersama pakar Pengurusan Pembinaan Inovatif dari UWE, Profesor Patrick Manu.

Katanya lagi, UiTM berperanan besar dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan keselamatan pembinaan negara.

“Melalui kolaborasi bersama agensi penguat kuasa, pemain industri dan institusi akademik antarabangsa, kami membangunkan kerangka kerja bagi memastikan aspek keselamatan diterapkan sejak fasa reka bentuk.

UITM mengetuai projek keselamatan dan kesihatan pekerja pembinaan bersama tiga universiti terkemuka dari Britain.

“Ia bagi melindungi pekerja sebelum mereka menjejakkan kaki ke tapak bina,” jelas beliau.

Projek ini turut menghimpunkan pelbagai organisasi penting dari Malaysia dan United Kingdom (UK) seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Eksekutif Kesihatan dan

Keselamatan UK (HSE), Black Dot Management, Lendlease, Consolidated Legend serta Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) di bawah CIDB Malaysia.

Pelbagai aktiviti dirancang, termasuk bengkel bersama pemegang taruh, seminar kedoktoran, syarahan jemputan, dan lawatan timbal balik antara Malaysia dan UK bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta amalan terbaik industri.

Dalam pada itu, Manu menegaskan bahawa pengalaman lebih tiga dekad Britain dalam pelaksanaan reka bentuk berasaskan keselamatan akan menjadi rujukan penting bagi Malaysia.

“Pendekatan menyeluruh dan inklusif yang menggabungkan dasar, pendidikan dan amalan menjadikan projek ini benar-benar berimpak tinggi.

“Projek selama 18 bulan ini dijangka menghasilkan kerangka kerja bersepadu untuk memperkukuh pelaksanaan DfOSH di Malaysia, sejajar dengan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030,” ujarnya.

Kongsinya lagi, ia juga membuka ruang kepada pembangunan kapasiti jangka panjang antara Malaysia dan UK melalui program pertukaran pelajar serta staf akademik, penyeliaan Ijazah Doktor

Falsafah (PhD) dan pembangunan kerangka kerja keselamatan pembinaan yang lebih holistik.

Dengan pelaksanaan peraturan baharu dalam sektor pembinaan, inisiatif UiTM ini bukan sekadar memastikan pematuhan terhadap undang-undang tetapi mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih selamat, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan pekerja.

Kolaborasi ini meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi contoh serantau dalam mengintegrasikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejak peringkat reka bentuk, sekali gus menjadi satu transformasi menyeluruh yang bermula dari kampus ke tapak pembinaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN